Oleh Bernama


Majlis Peguam hari ini menghantar memorandum bantahan kepada Polis Diraja Malaysia kerana mendakwa seorang peguam dihalang melakukan tugas dan ditahan dalam insiden penahanan semula pelakon Khaireyll Benjamin Ibrahim atau Benjy di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada 25 Mac lalu.

Peguam terbabit, Amer Hamzah Arshad, yang mewakili Benjy, mendakwa insiden itu berlaku di bahagian luar pejabat kaunter pembayaran sejurus sahaja ibu Benjy, dramatis dan pelakon terkenal Azean Irdawaty, selesai membayar wang ikat jamin berjumlah RM2,000.

“Kira-kira 10 orang berpakaian biasa mengerumuni saya dan anak guam saya dan mengarahkan beliau mengikut mereka.

“Mereka ini berkata mereka anggota polis tetapi tidak menunjukkan dokumen pengenalan atau bukti lain ketika menemui Benjy,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Amer Hamzah berkata, seorang lelaki kemudian menunjukkan satu kad menyerupai kad pengenalan polis sambil memberitahu bahawa dia akan menahan Benjy semula untuk siasatan mengikut seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan dan Kawalan Khas).

Amer Hamzah turut mendakwa beberapa orang lelaki kemudian memegang tangannya dan menahannya supaya diasingkan daripada Benjy dan selepas itu barulah beliau dilepaskan selepas lelaki terbabit membawa Benjy ke ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Katanya, ekoran itu beberapa orang lelaki terbabit telah menahan dan menghalangnya daripada melakukan tugas sebagai peguam.

Seramai 50 orang peguam serta adik Benjy, Elza Irdalyna, berhimpun di perkarangan masuk ke Bukit Aman selama satu jam sejak 12 tengah hari bagi menyerahkan memorandum bantahan itu.

Memorandum itu kemudian diterima oleh Pegawai Perhubungan Awam Bukit Aman, Asisten Superintendan Anuwal Abdul Wahab. 


Artikel ini dikongsikan oleh blog Kelab Greenboc.

Sumber: http://greenboc.blogspot.com/2010/03/majlis-peguam-hantar-memorandum-kepada.html