Oleh Ho Kit Yen | Free Malaysia Today


Panel 9 hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mendengar cabaran enakmen syariah Kelantan di Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan berhubung cabaran perlembagaan oleh seorang wanita dan anak perempuannya yang mempertikaikan bidang kuasa DUN Kelantan dalam menggubal 18 peruntukan bawah enakmen syariah.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengetuai panel sembilan hakim, menangguhkan keputusan mahkamah selepas mendengar hujahan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP); Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK); Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK); Persatuan Peguam Muslim Malaysia; Badan Peguam Malaysia; dan Sisters in Islam (SIS).

Hakim-hakim lain yang bersidang termasuk Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim; Hakim Besar Malaya Zabidin Diah; Hakim Besar Sabah dan Sarawak Rahman Sebli; serta Hakim Nallini Pathmanathan, Mary Lim, Harmindar Singh Dhaliwal, Nordin Hassan, dan Abu Bakar Jais.

Mahkamah pada 17 Ogos mendengar hujah daripada peguam mewakili Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman, serta kerajaan negeri Kelantan.

Tampil bagi pihak majlis-majlis agama dan kumpulan peguam Islam terbabit, peguam Rafique Rashid Ali, Adham Jamalullail Ibrahim, Arham Rahimy Hariri, dan Haniff Khatri Abdulla memberitahu mahkamah, mereka membantah cabaran perlembagaan kedua-dua wanita tersebut.

Mereka menegaskan bahawa DUN mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan berkenaan.

Sementara itu, Edmund Bon dan Fahri Azzat, yang mewakili Badan Peguam dan SIS selaku peguam, berhujah sebaliknya, menyokong petisyen Elin.

Pada pendengaran kes sebelum ini, peguam mewakili Nik Elin, Malik Imtiaz Sarwar, memberitahu mahkamah tertinggi itu bahawa mengenakan dua set hukuman – mengikut undang-undang persekutuan dan enakmen negeri – terhadap orang Islam di negeri itu bersifat “diskriminatif”.

Beliau berkata, 18 kesalahan bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 turut dirangkumi bawah Kanun Keseksaan; Akta Komunikasi dan Multimedia; Akta Kanak-Kanak; Akta Kerja; Akta Antigangguan Seksual; Akta Dadah Berbahaya; Akta Rumah Perjudian Terbuka; Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram; dan Akta Perihal Dagangan.

Malik berhujah, jika orang Islam didakwa di Kelantan bawah enakmen tersebut, mereka tidak dapat memanggil saksi bukan Islam bagi membantu pembelaan.

Peguam itu memetik keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini berhubung cabaran perlembagaan terhadap enakmen Selangor yang menjenayahkan liwat.

Beliau berkata, mahkamah tertinggi memutuskan “akan wujud diskriminasi antara orang Islam dan bukan Islam jika perkara yang sama digubal bawah (kedua-dua) undang-undang persekutuan dan negeri”.

Peguam Kamaruzaman Arif, yang mewakili kerajaan Kelantan, berhujah bahawa Elin dan Yasmin tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk memulakan cabaran perlembagaan.

Katanya, mereka hanya “penyibuk” kerana gagal membuktikan risiko sebenar yang mungkin mereka hadapi dengan pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah tersebut.

Kamaruzaman juga berkata, Elin dan Yasmin tidak pernah didakwa bawah enakmen syariah tersebut sejak ia berkuat kuasa pada 2021.

Elin dan Yasmin berpendapat, 18 peruntukan terbabit tidak sah kerana turut diliputi oleh undang-undang persekutuan.

Mereka juga berkata, kuasa menggubal perkara jenayah ialah hak eksklusif Parlimen, manakala DUN hanya boleh menggubal undang-undang berkaitan akidah Islam.

Mereka mahu mahkamah mengisytiharkan peruntukan-peruntukan berkenaan batal dan tidak sah.


Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/11/20/mahkamah-persekutuan-tangguh-keputusan-cabaran-enakmen-syariah-kelantan/