Oleh Suraya Roslan | Harian Metro


Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 15 Ogos depan untuk keputusan permohonan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Dalam kes ini, pendakwaan selaku responden dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Garib.

Pembelaan bagi pihak Muhyiddin selaku pemohon pula, dibarisi peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Amer Hamzah Arshad.

“Saya memerlukan masa untuk meneliti hujahan kedua-dua pihak, jadi saya akan tetapkan tarikh lain untuk keputusan permohonan ini.

“Tarikh keputusan 15 Ogos, jam 9 pagi,” katanya.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden Bersatu memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan itu pada 18 April lalu, dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Bekas Perdana Menteri itu memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu, dan memohon prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat tuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.

Muhyiddin, 75, ketika menjadi Perdana Menteri kelapan didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, dan Mamfor Sdn Bhd, serta Datuk Azman Yusoff bagi Bersatu.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.


Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/07/986622/keputusan-muhyiddin-batalkan-pertuduhan-salah-guna-kuasa-15-ogos-depan