Oleh Hidir Reduan Abdul Rashid | Malaysiakini


Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini memberi persetujuan kepada permohonan dikemukakan di mahkamah untuk tidak mengusir seorang pemimpin pembangkang Bangladesh, MA Quayum.

Persetujuan JIM itu direkodkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini melalui aku janji diberikan wakil dari Jabatan Undang-undang JIM, Timbalan Pendakwa Raya Nor Amalina Ismail.

Sebelum itu peguam Quayum, Edmund Bon, memohon aku janji itu berkenaan bagi membolehkan mereka menunggu keputusan permohonan habeas corpus ahli politik terbabit yang dijadual untuk didengar pada 5 April ini.

Terdahulu dia memberitahu hakim, K. Muniandy, bahawa malam tadi keluarga Quayum menerima surat daripada JIM yang memaklumkan perintah jabatan itu – bertarikh 24 Jan — untuk menghantar pemimpin Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) itu pulang dalam tempoh dua hari.

Perintah pengusiran itu bertentangan dengan keputusan mahkamah tinggi pada 18 Jan lalu yang membenarkan penangguhan pengusiran Quayum yang menjadi pelarian di Malaysia sejak 2015.

Perintah penangguhan itu kekal berkuat kuasa sementara menunggu keputusan permohonan habeas corpusnya untuk memohon dibebaskan daripada dakwaan penahanan yang menyalahi undang-undang oleh pihak berkuasa imigresen Malaysia.

Di mahkamah hari ini, Bon memberitahu hakim bahawa perintah JIM bertarikh 24 Jan itu secara langsung boleh dianggap sebagai menghina mahkamah.

“Kami bimbang (kerana tidak pasti) sama ada dia masih berada di sini atau sudah tidak ada kerana pendengaran (habeas corpus) ialah pada 5 April.

“Rakan sekerja saya ke Semenyih (pusat tahanan imigresen) awal hari ini. Difahamkan dia (Quayum) masih ada,” katanya.

Tegas Bon kebimbangan itu bukanlah sesuatu yang remeh kerana sebelum ini pernah berlaku pengusiran individu oleh pihak berkuasa ketika permohonan pembebasan yang dikemukakan di mahkamah belum diputuskan.

Peguam terbabit kemudiannya memohon mahkamah sama ada mengarahkan JIM menarik balik notis pengusiran yang baru dikeluarkan, atau sebagai alternatif, mereka membuat aku janji untuk tidak bertindak atas perintah pengusiran itu.

“Sekurang-kurangnya inilah permintaan saya untuk memelihara integriti prosiding mahkamah.

“Saya juga berhak untuk memfailkan mengemukakan permohonan menghina mahkamah,” katanya.

Nor’ Amalina kemudian memberitahu Muniandy, dia memiliki ikrar daripada JIM bahawa pihak berkuasa terbabit akan menghormati perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 18 Jan untuk tidak menghantar Quayum pulang.


Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/694891