Oleh Ahmad Johari Mohd Ali | Berita Harian


Jasmine Loo Ai Swan yang dikaitkan sebagai sekutu Jho Low, sedia dedah semua fakta apabila tiba masanya.

Bekas peguam 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan, yang ditahan polis Jumaat lalu akan mendedahkan semua fakta dan keadaan sepanjang berada di luar negara dan diburu pihak berkuasa.

Firma guaman AmerBON yang mewakili Jasmine dalam satu kenyataan berkata, sekutu rapat ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low itu, yang masih dalam buruan, bersedia membuat pendedahan apabila tiba masa yang sesuai.

Kenyataan itu menyebut, Jasmine mempunyai kepercayaan dan keyakinan mutlak terhadap sistem kehakiman dan perundangan negara serta bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan.

“Beliau memohon diberikan ruang dan tidak diganggu untuk melakukan apa yang sewajarnya buat masa ini.

“Keutamaan anak guam kami adalah bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang dalam siasatan 1MDB yang masih berlangsung.

“Anak guam kami juga mahu memudahkan dan membantu kerajaan Malaysia dalam mempercepatkan usaha pemulihan asetnya.

“Beliau berharap dapat kembali ke pangkuan keluarganya secepat mungkin dan sentiasa menganggap Malaysia sebagai rumahnya,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Jasmine melantik peguam Amer Hamzah Arshad dan Edmund Bon Tai Soon daripada AmerBON mewakilinya sebagai wakil perundangan yang sah.

Jasmine dikatakan antara sekutu rapat Jho Low yang terbabit dalam skandal kewangan 1MDB, dan disenaraikan sebagai orang dikehendaki.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dalam sidang medianya semalam berkata, Jasmine direman Sabtu lalu di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi.

Katanya, suspek ditahan di Kuala Lumpur pada 7 Julai lalu sebelum direman keesokannya dan disiasat mengikut seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

Bloomberg sebelum ini melaporkan, penyiasat Switzerland yang menjalankan siasatan jenayah berhubung skandal 1MDB, memburu pengarah eksekutif Casey Tang dan Jasmine berkaitan pemindahan AS$700 juta yang didakwa dilakukan secara haram.

Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low, Jasmine, Casey, bekas pegawai 1MDB Geh Choh Heng dan sekutu rapat Jho Low, Eric Tan Kim Loong.

Waran tangkap itu dikeluarkan selepas mereka gagal hadir di mahkamah bagi menghadapi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.


Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/07/1126119/jasmine-akan-dedah-semuanya