Oleh Raja Noraina Raja Rahim, dan Suharmin Yusuf | Harian Metro


Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menegaskan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan bertekad membersihkan namanya selepas berdepan empat pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Shamsul berkata, sejak siasatan bermula, beliau mengambil pendekatan proaktif memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan yakin proses mahkamah akan membuktikan dirinya tidak bersalah.

“Pertama, saya ucap terima kasih kepada barisan peguam dan sahabat yang hadir hari ini bersolidariti dan berdoa.

“Insya-Allah, saya akan buktikan saya tidak bersalah.

“Kita akan ikut jalur hukum proses mahkamah dan saya dari awal memberikan kerjasama kepada SPRM untuk menyelesaikan siasatan dan membersihkan nama saya,” katanya kepada pemberita di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Sementara itu, peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, Shamsul mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009 dan mahkamah membenarkan jaminan RM150,000 dengan dua penjamin serta tiga syarat tambahan.

SHAMSUL Iskandar ketika bertemu media dipekarangan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bersama peguamnya selepas dibebaskan dengan jaminan ASWADI ALIAS

“Mahkamah juga menetapkan tarikh sebutan pada Januari untuk pihak pendakwaan membekalkan dokumen berkaitan.

“Sejak awal, beliau mengekalkan pendirian bahawa beliau tidak bersalah dan sudah membuat laporan polis bagi menjawab tohmahan terhadap beliau dan Perdana Menteri,” katanya.

Dalam pada itu, Amer turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi keterlaluan berhubung kes itu dan menegaskan Shamsul akan mempertahankan dirinya melalui proses undang-undang yang ada.

Hari ini Harian Metro melaporkan, Shamsul Iskandar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas empat pertuduhan rasuah lebih RM170,000, sejak tiga tahun lalu.

Shamsul Iskandar, 51, membuat pengakuan itu sebaik kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM150,000 dengan dua penjamin warga Malaysia selain diarah melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan, pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tidak mengganggu saksi.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Januari 2026.


Sumber: https://www.hmetro.com.my/utama/2025/12/1295876/insya-allah-saya-akan-buktikan-saya-tidak-bersalah-shamsul-iskandar. Diarkibkan di https://perma.cc/9MZD-PRHV