By Shakira Buang | Malaysiakini


Dua lagi laporan polis berhubung dakwaan salah laku badan kehakiman seperti yang terkandung dalam afidavit Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer.

Ia dibuat oleh Rafzan Ramli, 42, dan Khairul Amal Mahmud, 38, di ibu pejabat polis daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

Rafzan dan Khairul Amal adalah dua daripada tujuh bekas aktivis mahasiswa universiti tempatan yang pernah didakwa bawah seksyen 27(5) Akta Polis 1967 kerana menyertai protes terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Jun 2001.

Peguam Michael Cheah ketika ditemui pemberita berkata, laporan dibuat untuk menggesa siasatan lanjut terhadap dakwaan Hamid Sultan, yang merupakan satu-satunya hakim dalam panel tiga hakim yang menentang keputusan Mahkamah Rayuan terhadap tujuh aktivis mahasiswa itu pada 2013.

“Baru-baru ini, pendedahan telah dibuat oleh salah seorang hakim mengenai salah laku hakim-hakim tertentu, antara lain cara bagaimana kes-kes rayuan ini diputuskan.

“Tuduhan itu serius. Mereka harus menyiasat secara menyeluruh dan semakan semula keputusan dalam rayuan itu harus dibuat,” katanya ketika ditemui pemberita di IPD Petaling Jaya.

Beliau merujuk keputusan yang dibuat pada 4 September 2013 yang menolak rayuan aktivis tersebut terhadap sabitan bersalah terhadap mereka.

Ketujuh-tujuh mereka – enam pelajar institusi pengajian tinggi dan seorang pekerja swasta – ditahan polis ketika menyertai himpunan membantah ISA pada 8 Jun 2001, di depan Masjid Negara.

Rafzan dan Khairul Amal akhirnya digantung pengajian ekoran perkara itu.

Menurut Cheah, tujuh aktivis ketika itu memfailkan rayuan atas hujah sama ada seksyen 27(5)(a) yang dibaca bersama seksyen 27(2) Akta Polis 1967 bertentangan dengan Artikel 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak berhimpun.

Katanya, selepas mendengar permohonan itu, panel tiga hakim akhirnya menolak rayuan mereka.

Hamid Sultan ketika itu menulis keputusan menentang di mana beliau tidak setuju dengan dua lagi hakim Mahkamah Rayuan.

Susulan perkembangan baru ini, kata Cheah, mereka akan membuat semakan kehakiman untuk mencabar keputusan itu.

Untuk bersihkan nama

Khairul Amal berkata pihaknya berharap keadilan dapat ditegakkan sekali gus membersihkan nama mereka yang terlibat.

“Kami membuat laporan polis kerana afidavit Hamid Sultan turut menyentuh kes kami.

“Ekoran dakwaan itu, saya boleh katakan hidup saya tidak sesenang mereka yang menghabiskan pengajian. Kami mahu keadilan ditegakkan,” katanya yang pada ketika itu berada di tahun kedua dalam pengajian peringkat ijazah di Universiti Malaya.

Beliau kemudian mendapat diploma dari sebuah lagi institusi pengajian tempatan dan kini bekerja sebagai freelancer.

Selain Rafzan dan Khairul Amal, lima lagi yang didakwa ialah Helman Sanuddin, Wan Sanusi Wan Mohd Noor, Nik Noorhafizi Nik Ibrahim, Ahmad Kamal Abdul Hamid, dan Zulkefle Idris.

Laporan polis pertama berhubung afidavit Hamid Sultan dibuat Anggota Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad pada 17 Februari lalu.jos

Beliau berkata ia dibuat bagi merujuk kes melibatkan dirinya mengikut Akta Perhimpunan Aman ekoran penganjuran Himpunan Black 505 pada 2013.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata kabinet bersetuju untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan Hamid Sultan.


Source: https://www.malaysiakini.com/news/465325. Archived at https://perma.cc/BR6E-6XCD