Oleh Hasif Idris | Utusan Malaysia

Bloomberg (Malaysia) Sdn Bhd memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini untuk membatalkan saman fitnah oleh Bestinet Sdn Bhd dan pengasasnya, Datuk Seri Aminul Islam Abdul Nor berhubung satu artikel yang mengaitkan mereka dengan sindiket pengambilan pekerja asing.
Peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Bloomberg (Malaysia) berkata, pernyataan tuntutan plaintif bertarikh 12 Februari 2026 adalah bersifat remeh, menyusahkan serta merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.
“Defendan menyatakan pihaknya bukan penerbit dan tidak menyebabkan penerbitan artikel yang dipertikaikan pada Januari 2026.
“Syarikat itu menegaskan pihaknya tidak menerbitkan, memuat naik atau menyebarkan artikel tersebut serta tidak mengendalikan atau mengawal laman web artikel itu disiarkan.
“Pihaknya turut menjelaskan laman web Bloomberg memaparkan notis ia dikendalikan oleh Bloomberg LP di New York, Amerika Syarikat dan bukannya entiti di negara ini,” katanya berdasarkan dokumen mahkamah yang difailkan itu.
Menerusi saman itu, plaintif menamakan 10 defendan termasuk Bloomberg LP, Bloomberg (Malaysia) Sdn Bhd, The Edge Communications Sdn Bhd, Mnow Media Sdn Bhd, Mkini Dotcom Sdn Bhd, Norhafizan Muhamad, Nur Azwan Nusi, Latheefa Koya, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli dan Iswardy Morni.
Bestinet dan Aminul Islam diwakili oleh peguam, N. Ravindran.
Semasa pengurusan kes hari ini, Hakim Roslan Mat Nor menetapkan 26 Jun ini untuk mendengar permohonan pembatalan tersebut.
Sumber: https://www.utusan.com.my/nasional/2026/04/bloomberg-malaysia-mohon-batal-saman-fitnah-bestinet/. Diarkibkan di https://perma.cc/NX5F-PW4T


