Oleh Faris Fuad | Berita Harian


Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim

Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan sekali lagi keputusan permohonan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bagi membatalkan 13 tuduhan menerima rasuah dan pengubahan wang haram dihadapinya.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali menangguhkan kes itu pada 5 September depan, selepas pembelaan memaklumkan Abdul Azeez tidak dapat hadir ke mahkamah kerana sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Kamaludin berkata, pihaknya tidak mempertikai tahap kesihatan bekas Pengerusi Tabung Haji itu namun berharap proses mahkamah tidak disalah guna.

“Kes ini sudah banyak kali ditangguhkan dan kita banyak kes lain yang perlu didengar. Berkaitan representasi oleh pembelaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC), kalau tiada jawapan daripada mereka, kita anggap tiada apa-apa.

“Namun, kita berharap pihak terbabit menjawab (representasi itu), kalau tolak perlu beritahu supaya ada jawapan serta perkara itu tidak tergantung,” katanya.

Pada masa sama, Abu Bakar berkata, mahkamah sudah bersedia untuk memberi keputusan berhubung kes berkenaan.

Terdahulu, peguam bela Abdul Azeez, Amer Hamzah Arshad, berkata anak guamnya mengalami gastrik sejak jam 2 pagi tadi dan sedang menerima rawatan di PPUM.

Beliau berkata, pihaknya akan mengemukakan cuti sakit (MC) Abdul Azeez kepada mahkamah bagi mengesahkan perkara itu.

“Saya juga ingin meluahkan kekecewaan berhubung empat surat representasi yang diserta dengan dokumen berkaitan dihantar kepada SPRM dan AGC.

“Surat terakhir dihantar pada 27 Jun lalu. Kita berharap ada jawapan dan mereka boleh terima atau menolak surat itu. Kalau ikut prosedur biasa, mereka merasakan representasi itu lemah, ia boleh ditolak,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron memaklumkan isu yang timbul berhubung representasi itu akan dimaklumkan kepada AGC.

Pada 1 Julai lalu, pasukan pembelaan memohon keputusan rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji itu bagi membatalkan tuduhan berkenaan di Mahkamah Rayuan, ditangguhkan.

Amer Hamzah dilaporkan berkata, ia bagi memberi ruang dan masa kepada SPRM menjalankan siasatan terhadap penemuan fakta serta bukti baharu kes itu yang diserahkan oleh pihaknya kepada AGC.

Pada 12 Mac tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Abdul Azeez bagi membatalkan kes sama.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati, pertuduhan yang dikenakan terhadap Abdul Azeez tidak cacat.

Muhammad Jamil dalam penghakimannya, berkata mahkamah juga mendapati alasan permohonan Abdul Azeez tidak bermerit, manakala tertuduh gagal menunjukkan pendakwaan terhadapnya adalah bersifat mala fide (berniat jahat).

Abdul Azeez, 54, yang juga Ahli Parlimen Baling menghadapi tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram mencecah jutaan ringgit.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 serta dibaca bersama seksyen 16(a)(A) dan seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.


Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/08/992901/azeez-masuk-hospital-keputusan-rayuan-kes-rasuah-ditangguh-lagi