Oleh Nina Muslim | Bernama


Gambar hiasan
Dadah jenis Methamphetamine bernilai RM750,000
Pengamal perubatan Dr Mohd Khafidz Mohd Ishak

Pada 10 Jun lepas, Malaysia mengumumkan yang ia akan memansuhkan hukuman mati mandatori yang pada masa ini dikenakan terhadap kesalahan berkaitan dadah serta kes bunuh dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara hakim.

Sejurus diumumkan, maklum balas mencurah masuk. Walaupun ada moratorium pelaksanaan hukuman mati mandatori sejak 2018, perkhabaran itu disifatkan oleh masyarakat tempatan dan antarabangsa sebagai langkah ke depan yang amat diperlukan dalam menangani isu jurang besar hukuman bagi kesalahan berkaitan dadah khususnya.

Keputusan itu juga adalah langkah pengunduran dasar kerajaan yang diinspirasikan oleh perang terhadap dadah yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS). Pengumuman tersebut menyusuli polemik menghalalkan marijuana bagi tujuan perubatan, iaitu satu lagi tindakan yang menunjukkan Malaysia mengambil pendekatan lebih bernuansa berhubung masalah dadah.

Namun, lebih penting lagi,  aktivis hak asasi manusia berharap pemansuhan hukuman mati mandatori itu akan membaiki segala kerosakan yang diakibatkan oleh dasar sifar toleransi negara terhadap kesalahan dan pengedaran dadah sejak era 1980-an tersebut.  

Samantha Chong, seorang peguam yang banyak mengendalikan kes dadah, memberitahu Bernama bahawa hukuman mati mandatori itu lebih bersifat seperti ‘band aid’, iaitu sekadar penyelesaian luaran dalam menangani masalah dadah di negara ini.

“Jika kita cuma ada hukuman mati — (dengan mentaliti) hukum sahaja mereka yang guna dadah — ini sebenarnya tidak menyelesaikan masalah. Kerajaan mungkin dilihat telah mengambil tindakan, namun (ini) tidak (benar),” katanya dalam temu bual menerusi Zoom.

Malaysia antara negara yang mengikut jejak langkah AS dalam dasarnya “Just Say No To Drugs” (Katakan Tidak Kepada Dadah) yang dipopularkan semasa era pentadbiran Presiden Ronald Reagan pada 1980-an.

Pada 1983, Malaysia memperkenalkan hukuman mati mandatori bagi kesalahan mengedar dadah sekalipun kebanyakan kes berkenaan bukan jenayah kejam. Alasannya ialah dadah boleh menyebabkan kematian akibat terlebih dos atau lain-lain. Justeru, mereka yang menjual dan mengedar dadah adalah orang yang menyebabkan kematian.

Undang-undang keras berkaitan dadah yang memperuntukkan hukuman mati ke atas sesiapa yang disabitkan kesalahan memiliki dadah berdasarkan jumlah berat yang digariskan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1957 — contohnya 15 gram bagi heroin — menyebabkan dadah sukar diperoleh. Akibatnya, dadah menjadi lebih berharga, sekali gus mendorong mereka yang terdesak untuk mencuba nasib mengedar dan menjual bahan terlarang itu. 

Kerosakan

Kedudukan yang strategik, iaitu di selatan kawasan pengeluaran dadah dikenali Segi Tiga Emas, Malaysia secara tidak langsung menjadi negara transit yang ideal bagi penyeludupan dadah, di mana heroin dan dadah sintetik dibawa masuk dengan sebahagian besar adalah untuk pasaran antarabangsa. Buktinya rampasan besar yang kerap dilakukan oleh pihak berkuasa. Misalnya pada tahun lepas, polis berjaya merampas kira-kira 27 tan dadah bernilai hampir RM1 bilion bagi tempoh Januari hingga 30 Nov. 

Jelas, perniagaan dadah tetap ampuh sekalipun ada hukuman mati mandatori yang berkuat kuasa selama hampir empat dekad di negara ini.

“Ini kerana hukuman mati terbukti, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga seluruh dunia, bukan langkah pencegah yang berkesan. Malah, sebahagian besar yang terkesan oleh pelaksanaan hukuman mati bagi kesalahan mengedar dadah adalah golongan miskin dan terpinggir,” kata Abdul Rashid Ismail, seorang peguam hak asasi.

Kebanyakan golongan miskin atau terpinggir  yang ditangkap atas kesalahan mengedar dadah ini tidak mampu mendapatkan khidmat peguam.

Menurut peguam dan juga pertubuhan hak asasi manusia, sesetengah keluarga terpaksa berhutang dan menjual segala harta benda yang ada bagi mendapatkan khidmat guaman untuk tanggungan mereka meskipun peluang untuk “terlepas” daripada hukuman adalah tipis. Ini memburukkan lagi keadaan keluarga tersebut.  

Tertuduh bagi kesalahan dadah di Malaysia perlu melepasi halangan yang besar kerana beban pembuktian mungkin berpindah kepada mereka apabila keperluan perundangan tertentu telah dipenuhi. Apabila ini berlaku, tertuduh perlu membuktikan, misalnya mereka tidak tahu-menahu tentang dadah yang ditemukan dalam milikan mereka atau sengaja diletakkan oleh pihak lain. 

“Kesukarannya ialah bagaimana anda mahu buktikan aspek itu,” kata Abdul Rashid.

Kesan buruk bertamabah jika yang berdepan tuduhan itu adalah pencari nafkah keluarga seperti kes Hairun Jalmani, seorang penjual ikan.

Ibu tunggal berusia 55 tahun itu disabitkan kesalahan memiliki dan mengedar 113.3 gram methamphetamine dan dijatuhi hukuman mati pada tahun lepas di Tawau, Sabah. Dia mempunyai sembilan orang anak yang kini mungkin hidup terkontang-kanting. 

Kerajaan mengumumkan rancangannya untuk memansuhkan hukuman mati mandatori itu susulan laporan daripada jawatankuasa khas yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Richard Malanjum.

Ahli jawatankuasa itu Edmund Bon memberitahu Bernama satu panel khas yang dianggotai para hakim Mahkamah Persekutuan perlu ditubuhkan bagi menyemak semula kes hukuman mati sedia ada.

“Harus ada satu panel khas hakim susulan undang-undang baharu itu bagi menyemak semula kes-kes mereka, sama ada hukuman mati tersebut wajar dikekalkan atau diringankan kepada penjara seumur hidup atau hukuman lain,” katanya. 

Media melaporkan setakat 19 Okt 2021, seramai 1,366 orang berada dalam senarai hukuman mati dengan dua pertiga daripada mereka disabitkan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurut Amnesty International, sejak meraih kemerdekaan pada 1957 hingga kini, Malaysia telah melaksanakan hukuman mati ke atas 469 orang.

Langkah pencegahan

Alasan yang paling kerap diutarakan bagi mewajarkan hukuman mati, baik mandatori ataupun tidak, ialah sebagai langkah mencegah jenayah, iaitu hukuman keras akan membuatkan seseorang berfikir dua kali sebelum melakukan jenayah.

Apabila kerajaan Malaysia dan masyarakat antarabangsa merayu Singapura agar memberi pengampunan kepada Nagaenthran Dharmalingam, lelaki warga Malaysia berusia 44 tahun dengan masalah lembam yang disabitkan kesalahan menyeludup 44 gram heroin ke Singapura, kerajaan republik itu menjawab hukuman mati adalah perlu bagi mencegah orang lain daripada mengedar dadah. Ia juga berkata rata-rata rakyatnya menyokong hukuman mati. 

Hukuman terhadap Nagaenthran dilaksanakan pada 27 April lalu. 

Sekalipun pemansuhan hukuman mati mandatori mungkin dijadikan sebahagian daripada undang-undang apabila Parlimen bersidang semula bulan depan, hukuman mati secara umum masih kekal. Ini kerana majoriti rakyat Malaysia menyokong hukuman mati walaupun ramai yang melihat hukuman itu sebagai pembalasan setimpal, bukan langkah pencegahan.

Bon yang juga peguam hak asasi manusia memberitahu Bernama bahawa Malaysia mungkin memansuhkan sepenuhnya hukuman mati pada masa depan.

“Pemansuhan hukuman mati mandatori ini adalah langkah pertama. Jika kita lihat tidak ada impak ke atas kadar jenayah, maka ini mewajarkan hujah mereka yang menyokong pemansuhan bahawa hukuman mati tidak dapat mencegah jenayah,” katanya.

Sejak sekian lama, aktivis dan pertubuhan hak asasi manusia berhujah bahawa hukuman mati tidak berkesan sebagai pencegah jenayah. Hasil kajian beberapa negara yang telah memansuhkan sepenuhnya atau sebahagian hukuman mati dilihat menyokong hujah mereka. 

Contohnya, analisis data oleh Biro Penyiasatan Persekutuan AS yang membandingkan kadar jenayah di antara negeri yang menguatkuasakan hukuman mati dan negeri yang tiada hukuman itu bagi tempoh 1990 hingga 2019, mendapati kadar jenayah bunuh lebih rendah di negeri yang tidak melaksanakan hukuman mati.

Abdul Rashid yang juga bekas Presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia  Malaysia (HAKAM) menghujahkan bahawa peningkatan jumlah kes pengedaran dadah ketika hukuman mati mandatori berkuat kuasa di Malaysia adalah bukti hukuman itu tidak berjaya dalam mencegah jenayah.

“Jujurnya, apabila mereka menegaskan bahawa hukuman mati itu berkesan, mereka berbuat demikian tanpa sokongan empirikal… Jika (hukuman mati) benar-benar berkesan (sebagai pencegah), bukankah sepatutnya jumlah pengedar dadah berkurangan?” ujarnya.

“Jadi, yang diperlukan oleh negara kita adalah pendekatan berbeza dalam menangani pengedaran dadah,” tambahnya.

Membaiki Korosakan

Antara langkah yang boleh diambil ialah menjadikan penagihan dadah bukan satu kesalahan jenayah dan menyemak semula jumlah berat dadah yang menjadi kesalahan bagi membezakan jumlah dadah untuk kegunaan sendiri dan pengedaran.  

Pakar rawatan penagihan dadah Dr Mohammed Khafidz Mohd Ishak berharap pelaksanaan langkah itu bermakna Malaysia menerima pakai pendekatan berasaskan rawatan dalam isu penggunaan dan penyalahgunaan dadah. 

“Kita harus faham bahawa penagihan dadah adalah satu penyakit, bukan perbuatan jenayah tetapi penyakit. Sebagaimana yang kita tahu, (penagihan) adalah penyakit relaps berkaitan otak yang boleh dirawat oleh doktor. Jadi, kita harus beri mereka peluang untuk dirawat selain memenjarakan mereka atau (dikenakan hukuman mati),” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga harus menimbang untuk menaikkan jumlah berat minimum dadah bagi kesalahan pemilikan dan pengedaran kerana jumlah berat yang diperuntukkan sebagai kesalahan sekarang lazimnya adalah untuk kegunaan sendiri sahaja.

Khafidz yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Poliklinik Khafidz, sebuah klinik metadon, menambah bahawa hampir kesemua pesakitnya mula menyalahgunakan dadah disebabkan pengaruh rakan, selain faktor seperti stres dan kemurungan.

Satu lagi cara ialah mengenal pasti punca jenayah dan meningkatkan sokongan kesejahteraan sosial serta akses pendidikan bagi semua komuniti dan rakyat. Ini akan menurunkan kebarangkalian ahli masyarakat mengalami keterdesakan sehingga melakukan jenayah seperti bunuh dan mengedar dadah.

Chong berkata walaupun hukuman mati mandatori akan dimansuhkan, ini tidak bermakna kerajaan mengendur terhadap jenayah. Sebaliknya ada pendekatan lain yang perlu diambil.

“Hukuman mati diputuskan atas kesalahan yang didakwa dilakukan (seseorang), namun kita tidak pernah bertanya lanjut tentang apa yang dilalui oleh individu itu. Kenapa dia membunuh? Kenapa dia jadi pengedar dadah? Tidak ada sesiapa pun yang bertanya tentang hal ini,” katanya.


Sumber: https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2091919. Diarkib di https://perma.cc/MV4F-V862.