Oleh Nor Shafawati Yup | Utusan Malaysia


Seramai 29 wanita warga China didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih masa di negara ini. — UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

Seramai 29 orang wanita warga China didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih masa di negara ini.

Kesemua 29 tertuduh berusia antara 23 hingga 64 tahun itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan dalam Bahasa Mandarin.

Prosiding dijalankan di dua kamar mahkamah berbeza di hadapan Majistret Yusna Khadijah Md. Yusop dan Nurul Saqinah Rosli.

Mengikut pertuduhan, 21 tertuduh telah didapati berada di negara ini tanpa pas yang sah iaitu kesalahan di bawah seksyen 6(1)(c) ) Akta Imigresen 1959/1963 Pindaan 2002 yang boleh dihukum di bawah seksyen 6(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan enam sebatan.

Manakala lapan lagi tertuduh didakwa berada di Malaysia lebih dari masa yang telah ditetapkan iaitu melakukan kesalahan di bawah seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/1963 Pindaan 2002 yang boleh dihukum di bawah seksyen 15(4) akta yang sama, boleh didenda tidak kurang RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan pada pukul 5.15 petang, 13 Jun lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 tertuduh tidak ditawarkan jaminan manakala 10 orang dibenarkan jaminan sebanyak RM10,000, empat orang dijamin sebanyak RM8,000 dan empat lagi dibenarkan jaminan sebanyak RM4,000.

Tertuduh yang dijamin ditetapkan syarat perlu mengemukakan dua penjamin warga tempatan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Terdahulu, peguam Siti Summaiyah Ahmad Jaafar yang mewakili kesemua tertuduh merayu agar anak guamnya dikenakan jaminan yang rendah.

Siti Summaiyah mengemukakan alasan bahawa tertuduh mempunyai visa rawatan perubatan dan pas pelancong, malah ketika ditahan pasport mereka masih belum tamat tempoh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd. Azman, dan Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi. 

Sebelum ini, akhbar berbahasa Cina melaporkan tertuduh wanita warga China itu ditahan oleh polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Seremban di sekitar Senawang di sini. 

Tertuduh dipercayai direkrut sebagai sindiket bagi menyebarkan ajaran Kristian yang sesat dan dikesan memperdayakan mangsa dari Filipina untuk menderma pembinaan gereja.

Kes akan disebut semula 25 Julai depan untuk serahan dokumen.


Sumber: https://www.utusan.com.my/berita/2023/06/29-wanita-warga-china-didakwa-tiada-dokumen-sah/