Oleh Ahmad Johari Mohd Ali | Berita Harian


Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan untuk mengetepikan tuduhan rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa.

Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan tambahan dikemukakan peguam bela Amer Hamzah Arshad dan Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi dan Mohd Afif Ali.

“Selepas meneliti hujahan kedua-dua belah pihak, permohonan pembelaan ditolak,” katanya ringkas.

Sehubungan itu, Rozina memerintahkan kes itu diteruskan dengan perbicaraan yang ditetapkan pada 25 hingga 27 Mac, 29 dan 30 April dan 20 hingga 22 Mei tahun depan dengan 27 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor memfailkan permohonan untuk membatalkan dua tuduhan itu pada 29 Mei lalu, dengan alasan pertuduhan dikemukakan ke atasnya adalah cacat.

Dalam hujahan sebelum ini, Amer Hamzah berkata, dua tuduhan rasuah berjumlah RM6.9 juta dihadapi anak guamnya adalah cacat kerana tidak menyatakan dengan khusus tarikh kesalahan dilakukan.

Amer Hamzah berkata, tuduhan meminta dan menerima rasuah itu juga tidak berasas berdasarkan seksyen 173(g) Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

Katanya, keadaan itu menyebabkan pihak pembelaaan dinafikan hak untuk mengemukakan pembelaan dan alibi.

Bagaimanapun, Rasyidah Murni berhujah, dua pertuduhan itu adalah mengikut peruntukan undang-undang yang baik, teratur, dan lengkap.

Beliau berkata, permohonan tertuduh pada peringkat ini untuk mengetepikan tuduhan berkenaan adalah pramatang kerana pihak pembelaan sudah dibekalkan dengan dokumen yang diperlukan dan mencukupi untuk menyediakan pembelaan.

Wan Saiful, 48, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek “Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur” daripada Kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232 juta.

Beliau juga dituduh menerima bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek itu.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, pada April 2022, dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 hingga 30 September 2022.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.


Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/07/1129469/2-tuduhan-rasuah-wan-saiful-dikekalkan