Oleh Mahani Ishak | Berita Harian

Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) mencadangkan supaya 18 November dijadikan sebagai Hari Hak Asasi Manusia ASEAN.
Pemilihan tarikh itu bersempena ulang tahun penerimaan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN pada 18 November 2012.
Wakil Malaysia ke AICHR, Edmund Bon Tai Soon berkata, cadangan itu dibuat kerana Hari Hak Asasi Sedunia sudah ditetapkan pada 10 Disember.
“Kita sudah ada 10 Disember sebagai Hari Hak Asasi Sedunia. Kenapa tidak kita ada 18 November sebagai Hari Hak Asasi ASEAN?
“Selepas 13 tahun, kita kini mempunyai Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN yang telah diterima pada 18 November 2012.
“Setiap tahun, tarikh itu berlalu. Walaupun perkara itu belum dimuktamadkan dan pemimpin masih belum buat keputusan, tetapi kita telah mencadangkan supaya 18 November dijadikan Hari Hak Asasi Manusia ASEAN,” katanya kepada media.
Terdahulu Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyampaikan ucaptama ketika mempengerusikan Mesyuarat Suamuka Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama Wakil-Wakil AICHR yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Mesyuarat itu diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan yang bermula hari ini hingga 11 Julai.
Semua menteri luar negara anggota ASEAN dijangka hadir kecuali Myanmar yang akan diwakili pegawai kanan dari kementerian luar negara itu, manakala Menteri Luar Timor-Leste akan mengambil bahagian sebagai pemerhati.
Ini kali kelima Malaysia memegang jawatan pengerusi ASEAN sepanjang sejarahnya sebagai anggota blok serantau itu selepas mempengerusikannya pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/07/1417329/18-november-dicadang-hari-hak-asasi-manusia-asean. Diarkibkan di https://perma.cc/JQ8D-Z42X


