Pada 21 Januari 2022, pendengaran permohonan untuk menerima masuk dan mendaftaraikan Cik Sri Shazliza Sharmie binti Mohd Sohaimi sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya (call to the Bar) telah berlangsung secara sidang video di hadapan hakim YA Dato’ Ahmad Kamal bin Md. Shahid. Kami mengucapkan terima kasih kepada Encik Hasnan bin Hamzah sebagai peguam pengusul.

Hasnan bin Hamzah (peguam pengusul) memberi ucapan beliau
(kiri-kanan) Halimah binti Hj Mahmud (ibu Shazliza), Shazliza, Amer Hamzah Arshad (Pengajar Shazliza), dan Kapt (B) Mohd Sohaimi bin Mohd Shariff (bapa Shazliza)
(kiri-kanan) Pn Halimah (ibu), Shazliza, dan Kapt (B) Mohd Sohaimi (bapa)
(kiri-kanan) Mohd Shafzanjani (abang), Pn Halimah (ibu), Mohd Iskandar (anak saudara), Jasmine (anak saudara perempuan), Kapt (B) Mohd Sohaimi (bapa), Mohd Mudzaffar (anak saudara), Shazliza, Dayang Zara (kakak ipar), Mohd Badlishah (anak saudara), dan Sri Shanaztasha (kakak)
Amer, Shazliza, dan keluarga Shazliza
(kiri-kanan) Yee Woei, Shazliza, dan Jacqueline
Sri Shazliza Sharmie binti Mohd Sohaimi, Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya

Ucapan Hasnan bin Hamzah seperti di bawah:


Dengan izin dan segala hormatnya Yang Arif, saya Hasnan bin Hamzah, mewakili pihak Pempetisyen Sri Shazliza Sharmie binti Mohd Sohaimi pada hari ini. Rakan-rakan bijaksana saya yang masing-masing mewakili Yang Berbahagia Peguam Negara Malaysia (Puan Nur Suraya binit Amir), Majlis Peguam Malaysia (Encik Choo Dee Wei) dan Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur (Encik Terrance Lee Rohui) yang telah pun diperkenalkan awal tadi.

Yang Arif,

Izinkan saya memperkenalkan Pempetisyen, Sri Shazliza Sharmie binti Mohd Sohaimi. Pempetisyen dilahirkan pada 23 Julai 1994 dan merupakan anak bongsu kepada Encik Kapt (B) Mohd Sohaimi bin Mohd Shariff dan Puan Halimah binti Hj Mahmud. 

Pempetisyen mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru Satu Kota Kinabalu, Sabah dan pendidikan menengah di Sekolah Sabah College, Kota Kinabalu Sabah. Pempetisyen seterusnya melanjutkan pengajian dalam jurusan undang-undang di Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA dan kemudiannya telah dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian pada tahun 2020 serta telah menjalani latihan dalam kamar di Tetuan AmerBON, Advocates di bawah bimbingan Encik Amer Hamzah bin Arshad. 

Yang Arif,

Pertama sekali, Pempetisyen ingin menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada ibu dan bapa Pempetisyen yang merupakan tunjang kekuatan, pendorong semangat dan sumber inspirasi kepada Pempetisyen. Pempetisyen sangat terhutang budi kepada beliau berdua yang telah banyak berkorban segalanya dan bersusah-payah dalam memastikan Pempetisyen membesar dengan baik dan mendapat pendidikan yang sempurna. Terima kasih untuk selalu mendorong Pempetisyen untuk melakukan yang terbaik.

Pempetisyen juga ingin mendedikasikan penghargaan kepada ahli keluarga Pempetisyen iaitu Sri Shanaztasha, Mohd Shafzanjani, Sri Shafinaz dan Mohd Shahjehan ke atas segala sokongan yang telah diberikan sepanjang Pempetisyen bergelar mahasiswa undang-undang sehinggalah Pempetisyen menamatkan tempoh latihan dalam kamar. Ketahuilah bahawa tanpa iringan doa dan sokongan yang tidak berbelah bahagi yang diberikan oleh mereka tidak mungkin sama sekali Pempetisyen mampu berdiri di sini untuk diterima masuk sebagai Peguambela dan Peguamcara

Di kesempatan ini, Pempetisyen ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua warga kerja Tetuan AmerBON, Advocates. terutamanya kepada Amer Hamzah bin Arshad yang telah memberikan tunjuk ajar dan bimbingan dengan penuh sabar dan dedikasi. Tidak lupa juga kepada Encik Joshua Tay dan Kak Yatie yang turut memberi tunjuk ajar dan tanpa jemu melayan setiap persoalan dan perbincangan yang banyak membantu Pempetisyen dan kepada Encik Edmund Bon Tai Soon yang telah memberikan peluang kepada Pempetisyen untuk menimba ilmu dan pengalaman di Tetuan AmerBON, Advocates

Pempetisyen juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Sir Amer yang mengajar Pempetisyen erti “tiada apa yang mustahil di dunia ini”.

Pempetisyen juga berterima kasih kepada rakan latihan dalam kamar Pempetisyen iaitu Cik Lee Yee Woei dan Cik Jacqueline Hannah Albert di atas persahabatan yang terjalin serta pertolongan yang telah dihulurkan kepada Pempetisyen sesungguhnya ia sangat bermakna bagi Pempetisyen.

Pempetisyen juga ingin memanjatkan kesyukuran kerana dipertemukan dengan beberapa insan yang telah hadir dan memaknakan kehidupan Pempetisyen iaitu Dedey, Nana, Nadira, Ayna, Pinky, Ayin, Nusya, Nazira, Sabreena, Bonel, dan yang terutamanya Rafael Simba.

Pempetisyen ingin merakamkan penghargaan kepada insan istimewa Encik Ben Ariff Azham yang merupakan tunang kepada Pempetisyen kerana telah banyak membantu Pempetisyen untuk sampai ke tahap ini. 

Akhirnya, Pempetisyen ingin berterima kasih pada dirinya sendiri kerana berjaya mencorak langkah hidupnya sejauh ini.

Yang Arif,

Saya percaya bahawa surat cara Pempetisyen adalah lengkap, juga teratur dan saya difahamkan bahawa rakan-rakan bijaksana saya yang mewakili badan-badan berkenaan tidak mempunyai apa-apa bantahan terhadap petisyen ini. Saya juga percaya Pempetisyen adalah seorang yang berkelayakan menurut Akta Profession Undang-Undang 1976.

Oleh yang demikian, saya dengan rasa penuh hormat dan rendah diri memohon kepada Mahkamah yang Mulia ini suatu Perintah agar Pempetisyen, Sri Shazliza Sharmie binti Mohd Sohaimi diterima masuk dan didaftaraikan sebagai Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya. Pohon Yang Arif memperkenankan Perintah seperti yang dipohon.