Skuadron Istiadat Berkuda berkawal di hadapan Istana Negara sebelum pertemuan antara Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, baru-baru ini. – FARIZ RUSADIO/UTUSAN MALAYSIA

Pada 23 Oktober lalu, dilaporkan secara meluas bahawa Kabinet meluluskan cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong bagi mengisytiharkan darurat sebagai langkah membendung penularan COVID-19. Langkah tersebut menerima pelbagai kritikan daripada banyak pihak, malah ada yang mendakwa objektif utama pengisytiharan darurat itu dibuat sebagai langkah politik bagi menggantung Parlimen.

Tidak kira apa pun motifnya, kita tidak boleh menafikan fakta bahawa seluruh negara sedang berdepan dengan satu situasi yang tidak pernah dihadapi sebelum ini. Tiada sebarang duluan (precedent) di negara ini sama ada dari sudut perundangan atau politik, cara paling efektif untuk menangani penyakit yang telah meragut lebih 200 nyawa dan terus mengancam kehidupan dan mata pencarian kita.

Ada dalam kalangan kita mengatakan, pengsytiharan darurat adalah wajar pada ketika ini manakala sebahagian lagi membantah dan mencadangkan langkah lain yang tidak begitu ekstrem.

Pada 25 Oktober lalu , selepas Majlis Raja-Raja bersidang, Seri Paduka mengeluarkan kenyataan menitahkan walaupun terdapat keperluan mendesak dalam menangani COVID-19 di negara ini, pengisytiharan darurat adalah tidak perlu pada masa ini. Oleh itu, Raja Perlembagaan telah mengurangkan kerisauan mereka yang menentang cadangan itu dari awal lagi.

Pengajaran

Terdapat pengajaran penting yang boleh dipelajari dalam episod ini. Apabila berhadapan dengan sesuatu situasi belum pernah berlaku, mereka yang berkuasa perlu mengambil kira semua faktor berkaitan. Mereka perlu mencari jalan untuk mengimbangi antara menyelamatkan nyawa dan membendung penularan COVID-19 dengan melindungi hak asasi serta semangat Perlembagaan Persekutuan.

Hak untuk hidup adalah sama penting dengan hak-hak yang lain. Hak asasi manusia dan prinsip demokrasi tidak memberi sebarang makna sekiranya tiada nyawa untuk dipelihara dan dilindungi. Sehubungan itu, walaupun tugas untuk mengimbangi kedua-duanya bukan mudah, namun ia perlu dilakukan.

Situasi yang berlaku di Sabah baru-baru ini jelas menunjukkan, dalam usaha kita menegakkan demokrasi ketika menangani COVID-19, langkah pencegahan terbaik akan menjadi sia-sia sekiranya kita semua tidak bersatu padu.

Keterlaluan bermain politik dan kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) antara lain menyumbang kepada gelombang ketiga COVID-19 di seluruh negara dan yang lebih merisaukan, meletakkan mereka di beberapa kawasan dalam kesusahan lebih teruk. Bagi beberapa kelompok, ia mungkin membawa kepada pengakhiran kehidupan.

Kita semua mempunyai peranan untuk dimainkan dalam situasi sekarang. Mengulangi titah Yang di-Pertuan Agong, saya menggesa semua pihak agar berhenti bermain politik. Ketepikan perbezaan dan tangguhkan agenda atau cita-cita politik masing-masing. Sebaliknya, inilah masa buat kita semua untuk sama-sama bersatu dan berganding tangan dalam  memastikan penularan wabak COVID-19 tidak menjadi lebih teruk.

Bentangkan cadangan membina yang tidak akan menjerumuskan negara ke dalam kancah politik, sosial dan ekonomi tidak sihat. Bagi mencapai semua ini, semua pihak disarankan mempertimbangkan perkara-perkara berikut:

  • Hentikan semua pertikaian politik.
  • Capai satu kompromi dan pastikan Bajet 2021 diluluskan bagi membolehkan kita mempunyai dana mencukupi dalam memerangi pandemik COVID-19.
  • Cari penyelesaian yang sah di sisi undang-undang dan praktikal bagi mengelakkan pilihan raya umum dalam tempoh beberapa bulan akan datang atau sekurang-kurang sehingga pandemik ini terkawal.

Membunuh

Perlu diingatkan, barang siapa yang membunuh seorang manusia bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh kesemua manusia. Dan barang siapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan seluruh manusia.

Saya menggesa semua rakyat Malaysia untuk bersatu demi menyelamatkan kita semua.


Rencana ini diterjemahkan dan diterbitkan oleh Utusan Malaysia.