Oleh The Rakyat Insight


Pengasas Revenue Group Berhad (Revenue), Dino dan Brian, membuat laporan polis di ibu pejabat polis Sentul, di sini hari ini, susulan ugutan yang diterima berkaitan perniagaan mereka.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat, kedua-dua beradik itu telah dipanggil untuk menghadiri suatu mesyuarat di sebuah premis perniagaan di Publika.

Menurut laporan itu lagi, terdapat dua individu yang ingin membincangkan keadaan pertelingkahan korporat di syarikat berkenaan yang melibatkan mereka.

Katanya, semasa mesyuarat tersebut, kedua-dua individu tersebut memberitahu mereka boleh memberhentikan siasatan yang dibuat oleh satu agensi penguatkuasa terhadap mereka sekiranya bersetuju dengan terma-terma penyelesaian yang ditawarkan.

Tambah laporan itu lagi, sekiranya mereka akur dengan tawaran itu, kedua-dua individu berkenaan akan mengarahkan agensi berkenaan untuk memulangkan telefon bimbit mereka pada hari Isnin hadapan.

Terdahulu, mereka hadir membuat laporan di IPD Sentul, bagi melindungi diri dari kumpulan yang dikatakan Mafia Korporat.

Mereka mendakwa takut dan risau sekiranya dua individu berkenaan mempunyai kaitan dengan agensi penguatkuasa berkenaan dan akan mengikut arahan mereka atau bersubahat dengan mereka dalam pertelingkahan korporat ini.

Baru-baru ini, dua pengarah dan pengasas syarikat penyedia penyelesaian pembayaran tanpa tunai, Revenue, itu mengumumkan peletakan jawatan pada 20 Mac 2023.

Di dalam makluman kepada Bursa, Brian dan Dino memberikan alasan bahawa mereka tidak mahu berada dalam lembaga pengarah yang sama dengan pengarah-pengarah semasa.

Mereka sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menyalahgunakan harta syarikat mereka tanpa resolusi Ahli Lembaga Pengarah, enam tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menyebabkan seorang pegawai CIMB Bank Berhad melupuskan sebuah kereta jenis Toyota Vellfire milik syarikat berkenaan.

Tindakan itu didakwa dibuat tanpa resolusi Ahli Lembaga Pengarah syarikat tersebut dengan mendaftarkannya atas nama Shih Fang (tertuduh kedua).

Kesalahan didakwa dilakukan mengikut seksyen 403 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, kedua-dua pengarah syarikat berkenaan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.


Sumber: https://therakyatinsight.com/2-pengasas-revenue-group-buat-laporan-polis/